Tuesday 6 March 2012

ADA APA DENGAN UKHUWAH????


Alhamdulillah segala puji ana terus panjatkan ke Hadrat Allah S.W.T. kerana masih berkesempatan untuk  mencoret sedikit buah fikiran agar dapat dikongsikan dengan para sahabat pembaca dan seterusnya menjadi peringatan khusus buat diri ini jua. Selawat serta salam kepada Junjungan Mulia Habibullah, Muhammmad S.A.W. kerana dengan kedatangan baginda telah memberikan rahmat keseluruh alam ini (Rahmatan Lil A’lamin). Pada post kali ini, ingin sekali ana berkongsikan serba sedikit perjalanan pengalaman hidup dalam ana membina hubungan UKHUWAH bersama2 teman seperjuangan di dalam medan ilmu ini. InsyaALLAH.

Sedar  tak sedar telah hampir satu tahun ana dan beberapa sahabat  kenalan di pusat pengajian tinggi ini telah lama bersama. Banyak aktiviti kami lakukan bersama sepanjang tempoh perkenalan ini, kami solat berjemaah bersama, iftar bersama, class trip bersama, kuliah bersama,bermain bersama, tazkirah bersama, bersembang@bertukar-tukar idea/pandangan bersama, dan banyak lagi yang pastinya akan sentiasa terpahat dalam sanubari ini. InsyaALLAH. Indahnya persahabatan yang ana rasakan ini bersama-sama teman2  dan didoakan agar ukhuwah yang terbina ini bertunjangkan ISLAM dan seterusnya dapat mencapai SYURGA FIRDAUS yang didambakan. AMIN

Penulis dan para sahabat di Bagan Lalang semasa "class trip"

Ukhuwah adalah, Satu perkataan penuh makna, Satu kalimah penuh beerti, Satu ungkapan penuh maksud tersiratnya. Kebanyakan dari kita ana percaya sangat sinonim menggunakan istilah ini apabila ingin menyatakan ke“akraban” hubungan persahabatan yang dibina dengan kawan2 yang lain. Namun adakah ramai dikalangan  kita ini sedar bahawa apa itu yang  dimaksudkan dengan UKHUWAH yang sebenar-benarnya???Mungkin ramai yang mengetahui perkataan ukhuwah itu berasal daripada Bahasa Arab(Lughatul Jannah), ukhuwah itu bersahabat baik, ukhuwah itu indah,dan lain2. Adakah setakat itu sahaja yang kita faham daripada Ukhuwah? Amat cetek dan rugilah pemahaman kita sekirannya itu sahaja 
yang kita tahu.

Suka ana disini membawakan kisah zaman Rasulullah S.A.W. mengenai contoh pembinaan UKHUWAH yang wajar kita ikuti dan teladani.
-----------------------------------------------------------------------------------------------
 Satu kisah ketika Rasulullah s.a.w duduk bersama sahabat, datang seorang musafir dan mengadu pada Rasulullah.

“Ya Rasulullah, aku sangat lapar dan penat”.

Maka Rasulullah s.a.w. pulang bertanya kepada isteri-isteri baginda, namun hampa, tiada makanan di rumah Rasulullah s.a.w. Lalu Rasulullah bertanya pada sahabat,

“Siapakah di antara kamu mahu memberi makan kepada sahabat ini, moga-moga Allah merahmatinya?”
Maka bangun Abu Thalhah menyahut Rasulullah s.a.w.,walaupun dia miskin. Sampai di rumah,maka bertanya Abu Thalhah kepada isterinya, Ummu Sulaim.

“Adakah makanan di dapur untuk saudara kita ini?”

Maka jawab Ummu Sulaim,
“Ada, tetapi cukup-cukup untuk anak-anak.”

Jawapan agung Abu Thalhah inilah yang akhirnya menyebabkan beliau menjadi insan yang luar biasa, lain dari kita yang penuh dalam diri kita sifat selfish, egois.
‘Tidurkanlah anak kita,tutupkan lampu dan berilah makanan kepada musafir tersebut.Kita berlapar malam ini.“

Subhanallah! Begitu hebat itsar sahabat walaupun dengan orang yang langsung tidak dikenalinya!

Keesokan hari Rasulullah s.a.w berjumpa dengan Abu Thalhah, beliau bersabda,
“Sungguh Allah sangat gembira (tersenyum) menyaksikan perbuatan anda berdua”.
---------------------------------------------------------------------------------------------

Rasulullah S.A.W juga ada berpesan kepada kita dalam ketentuan menentukan IMAN dengan menggunakan “indicator” ukhuwah. Sabda baginda S.A.W. yang mathumnya,

“Tidak sempurna iman seseorang itu selagi ia tidak mengasihi saudaranya  sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Wah!!!Sampai begitu selagi baginda S.A.W. memberikan isyarat kepada kita mengenai betapa pentingnya dalam menggapai kesempurnaan IMAN, seseorang itu wajib mengasihi, menyayangi dan berukhuwah dengan saudaranya. Ada beberapa kisah lain juga yang dapat dijadikan contoh daripada kalangan para SAHABAT R.A. Antaranya yang kemungkinan diketahui ramai adalah kisah para sahabat di medan perang berkongsi air minuman.


*********************************************************************************

Segelas Air Di Medan Perang

Di zaman permulaan bangkitnya Agama Islam, banyak peperangan telah berlaku antara pihak tentera Islam dengan pihak musyrikin. Banyak suku-suku Arab yang musyrik telah bangkit menentang Kerajaan Islam yang berpusat di kota Madinah. Salah satu peperangan besar yang dihadapi oleh umat Islam ketika itu ialah Perang Yarmuk.

Dalam masa peperangan ini suatu peristiwa yang sungguh mengharukan telah terjadi yang kiranya elok dijadikan satu teladan yang indah buat umat dikemudian hari. Satu contoh teladan yang tidak ada tolok bandingnya bagi menunjukkan keluhuran budi ukhuwah ISLAMI pejuang-pejuang Islam di medan pertempuran.

Salah seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Abu Jahim Bin Huzaifah yang menyertai Perang Yarmuk itu meriwayatkan satu peristiwa tentang pengorbanan pejuang-pejuang Islam yang berhati mulia.
Abu Jahim bercerita.

“Semasa Perang Yarmuk itu saya sedang mencari saudara sepupu saya yang berada di barisan hadapan sekali. Saya bawa bersama-sama sedikit air agar dapat memberi faedah buat dirinya. Tatkala saya menjumpainya dia sedang terbaring berlumuran darah. Dia mengerang kesakitan dan harapan untuknya hidup sangat tipis sekali. Melihat keadaannya itu saya lantas berkejar kepadanya untuk memberikan air. Tetapi ketika hampir saya memberikannya air itu saya terdengar seorang lagi pejuang Islam sedang berteriak: “Berikanlah saya air! air!” Mendengar suaranya itu saudara sepupu saya lantas memberi isyarat agar saya pergi melayani orang itu lebih dahulu dan memberikannya air itu. Maka saya pun tanpa lengah lagi terus pergi mendapatkan orang itu. Pejuang itu amat saya kenali, tidak lain adalah Hasyim Bin Abilas.

Tetapi sebelum sempat saya memberikan air kepada Hasyim saya terdengar suara orang mengerang di sebelahnya pula, juga meminta air. Hasyim pula kali ini mengisyaratkan saya supaya memberikan air itu lebih dahulu kepada orang yang mengerang dekatnya. Bagaimanapun sebelum sempat saya kepada pejuang yang ketiga itu ia pun telah mati syahid. Lalu saya pun bergegas semula kepada Hasyim tetapi sedihnya ia juga telah mati syahid. Tanpa lengah lagi saya terus pergi mendapatkan saudara sepupu saya itu. Sungguh tidak tahan rasa di hati saya kerana saya dapati dia juga telah mati syahid.

Demikianlah satu contoh keluhuran budidan ukhuwah yang tidak ada bandingnya yang diperlihatkan oleh pejuang-pejuang Islam yang beriman.

*********************************************************************************
Sidang pembaca yang dikasihi Rabbul A’lamin sekalian,

Memang diakui dugaan dalam bersahabat ini pun ada juga onak ranjaunya. Kita mungkin pernah berkawan dengan orang yang kurang baik, gemar bermaksiat, tidak tahu dosa pahala, kawan makan kawan, dan lain2 lagi. Namun itu semua bukanlah alasan untuk kita membenci diri teman tersebut kerana mungkin ada banyak hikmah disebalik kejadian yang ditakdirkan Tuhan. Allah Taala mungkin menguji kita melalui teman yang mempunyai sifat2 yang kurang ke“solehan”nya untuk melihat sejauh mana kita masih ingin meneruskan UKHUWAH ISLAMIAH itu sepertimana ditunjukkan para SAHABAT R.A. yang terkemudian dulu. Allah S.W.T. berfirman dalam kitab Al-Quran yang bermaksud,

Orang-orang mukmin sesungguhnya bersaudara; maka rukunkanlah kedua saudaramu yang berselisih dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat

 (Q.s. Al-Hujurat [49]: Ayat 10).

Ukhuwah itu Indah bertunjangkan ISLAM

InsyaALLAH,moga2 diri ana dan para sahabat pembaca diluar sana dapat mengambil ibrah daripada ayat Al-Quran diatas dalam kita terus berusaha untuk mengabdikan diri ini kepada ALLAH S.W.T. Konklusinya, teruskanlah membina ukhuwah persahabatan  dan kasih mengasihi sesama saudara dengan sebanyak mungkin agar kita tergolong dalam salah satu golongan yang mendapat naungan ALLAH di Padang Masyar nanti,

 Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu:salah satu golongan itu adalah, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah,…………………………………………………….

(Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)

P/s------->Mohon keampunan diatas segala keterlajuran baik dari segi perkataan mahupun perbuatan kepada teman2 sahabat yang mengenali diri ini. Semoga pertemuan dan perpisahan kita yang akan datang ini memberikan kebaikan dan mendapat Rahmat dari Tuhan yang MAHA MULIA. InsyaALLAH. BARAKALLAH.

UKHUWAH FILLAH ABADAN A’BADA

Video kenangan sepanjang melalui sebahagian medan menuntut ilmu